Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • TVET bukan ‘laluan kedua’, tapi laluan masa depan – Dayang Noorazah 
  • PENDIDIKAN

TVET bukan ‘laluan kedua’, tapi laluan masa depan – Dayang Noorazah 

Utusan Sarawak 2 hours ago
DAYANG Noorazah hadir pada Majlis Perasmian Karnival TVET Sarawak 2025 di Dewan Suarah Sri Aman, baru-baru ini yang telah disempurnakan oleh Datuk Len Talif Salleh. Foto: Pusat Khidmat ADUN Lingga

SIMANGGANG: Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi dianggap sebagai “laluan kedua”, sebaliknya menjadi antara tunjang utama pembangunan modal insan Sarawak yang berdaya saing, berpendapatan tinggi dan bersedia menyertai tenaga kerja masa depan.

Penegasan tersebut disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival TVET Sarawak 2025 di Dewan Suarah Sri Aman, baru-baru ini.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Len Talif Salleh.

DAYANG Noorazah hadir pada Majlis Perasmian Karnival TVET Sarawak 2025 di Dewan Suarah Sri Aman, baru-baru ini yang telah disempurnakan oleh Datuk Len Talif Salleh. Foto: Pusat Khidmat ADUN Lingga

Menurut Dayang Noorazah, TVET kini memainkan peranan kritikal dalam memastikan Sarawak melahirkan tenaga mahir sejajar dengan keperluan industri semasa, sekali gus menyokong aspirasi negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta agenda ekonomi digital.

“Bidang TVET menjanjikan kerjaya stabil, pendapatan lumayan dan masa depan yang cerah. Inilah masa depan pendidikan yang harus direbut oleh anak-anak muda, terutama dari kawasan luar bandar dan rumah panjang,” tegasnya.

Karnival TVET Sarawak, yang berlangsung selama tiga hari, berfungsi sebagai platform strategik memperkukuh ekosistem TVET negeri.

Penganjurannya menghimpunkan lebih 50 institusi pendidikan dan latihan, agensi kerajaan serta rakan industri dari seluruh Sarawak.

Antara pengisian utama karnival ialah pameran TVET dan industri, bengkel kemahiran, pertandingan, seminar, infotainment dan ekspo kerjaya yang menyediakan temuduga terbuka, konsultasi resume serta panduan kerjaya.

Acara ini disasarkan menarik lebih 5,000 pengunjung, melibatkan pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi serta komuniti setempat.

Sepanjang karnival, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai program menarik termasuk pertandingan kemahiran dalam bidang elektrik, elektronik, automotif dan masakan, selain bengkel asas kemahiran seperti pembuatan kuih, penyediaan set nasi kenduri, nail art serta asas tingkap casement.

Pentas interaktif seperti hiburan Kamboh TVET, E-sukan serta cabutan bertuah turut memeriahkan suasana, manakala ekspo kerjaya menyediakan peluang segera kepada pencari kerja untuk berhubung terus dengan majikan industri.

Dayang Noorazah turut merakamkan penghargaan kepada rakan industri dan institusi latihan seperti Petros, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Sarawak Skills, GiatMara Sri Aman, Kolej Vokasional Betong, Politeknik Betong, Kolej Komuniti Betong, CENTEXS Betong serta Universiti Putra Malaysia atas komitmen mereka menjayakan karnival tersebut.

Beliau menggesa agar masyarakat Sri Aman, terutamanya ibu bapa, pelajar dan belia, memanfaatkan peluang yang disediakan dalam karnival seumpama ini.

“Saya berharap ketua masyarakat, guru-guru dan ibu bapa dapat membawa pulang maklumat daripada karnival ini ke sekolah, komuniti dan rumah panjang masing-masing, demi membuka lebih banyak peluang kepada belia kita untuk mengenali potensi besar dalam bidang kemahiran,” tambahnya.

Karnival TVET Sarawak terus menjadi platform penting dalam mengarusperdanakan TVET sebagai pilihan utama pendidikan dan kerjaya, seiring aspirasi Sarawak melahirkan generasi berkemahiran tinggi menjelang 2030.

Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Charlie Keling; Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Fredick Kevin Buseli dan jemputan lain.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Pengisian guru di seluruh negara lebih 98 peratus – Fadhlina

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.