Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Tuwokano tarikan baharu peminat kopi
  • RENCANA

Tuwokano tarikan baharu peminat kopi

Utusan Sarawak 4 weeks ago
PENGUNJUNG Kopi Kaktus menikmati secangkir kopi di Kedai Bunga Suri, Jalan Pasir Hor. Foto BERNAMA

SIAPA sangka cubaan mencampurkan nira kelapa dengan kopi Americano untuk dinikmati sendiri akhirnya ia menjadi minuman yang turut digemari ramai dikenali sebagai ‘Tuwokano’ atau kopi tuak dengan gabungan cita rasa kampung dan Barat.

Minuman hasil inovasi Mazuadi Zakaria, 46, itu kini menjadi pilihan utama penggemar kopi yang datang ke Kopi Kaktus, kafe berkonsepkan nurseri bunga miliknya di Jalan Pasir Hor di sini, yang semakin mencuri tumpuan masyarakat tempatan.

MAZUADI menunjukkan cara-cara membuat Tuwokano. Foto BERNAMA

“Awal tahun ini, saya nekad mengkomersialkan kopi tuak ini bersama lebih 10 lagi variasi seperti Kopi Mimpi, Kopi Lemon, Kopi Latte, Kopi Karamel, Kopi Nyor dan Kopi Honeymoon,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun, bapa kepada enam anak itu berkata menghasilkan kopi tersebut bukan semudah mencampurkan dua bahan semata-mata, sebaliknya menuntut kefahaman mendalam tentang sifat air nira yang mudah berubah jika tidak dikendalikan dengan betul.

MAZUADI menyiapkan ‘Tuwokano’, juga dikenali sebagai kopi tuak yang dipesan pelanggan. Foto BERNAMA

“Air nira perlu dibiarkan pada suhu bilik selama tiga hingga empat jam untuk proses penapaian. Rasa sedikit bergas itulah ‘jiwa’ sebenar kopi tuak,” katanya sambil menambah beliau menggunakan 40 hingga 100 liter air nira seminggu.

PENERIMAAN PELANGGAN MEMBERANGSANGKAN

Minuman berharga RM11 segelas itu mampu terjual hingga 30 gelas sehari, menandakan penerimaan pelanggan yang sangat memberangsangkan.

Bagi mengekalkan keseimbangan rasanya, Mazuadi memilih biji kopi Brazil dan Arabica daripada pembekal tempatan agar kemanisan nira tidak menenggelamkan aroma kopi.

MAZUADI melayan pelanggan. Foto BERNAMA

Anak sulungnya, Arif Arham, 21, turut membantu menguruskan kedai, menjadikan perniagaan itu sebagai usaha keluarga yang semakin berkembang.

Kopi Tuwokano juga menarik perhatian pelancong luar Kelantan, yang terpesona dengan kombinasi rasa tradisional dan gaya penyajian moden alahipster.

Lebih menarik, suasana kedai yang dikelilingi pokok dan bunga hiasan menjadikannya lokasi santai yang ‘insta-worthy’ serta sesuai untuk beristirehat sambil menunggu pasangan membeli tanaman.

IDEA WUJUDKAN KOPI KAKTUS

“Saya nampak peluang bila ramai lelaki hanya tunggu isteri membeli bunga. Maka terhasillah idea untuk wujudkan Kopi Kaktus dalam nurseri Kedai Bunga Suri yang sudah beroperasi lebih 30 tahun,” katanya.

Melihat potensi besar, Mazuadi kini merancang memperluaskan jualan kopi berkenaan dalam bentuk botol agar boleh dinikmati di rumah atau dijadikan buah tangan.

“Insya-Allah, saya sedang usahakan pembungkusan sesuai. Harapan saya kopi ini bakal jadi produk kebanggaan Kelantan hingga ke luar negara,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Golden Melon jadi punca rezeki Maahad Tahfiz
Next: Solekan fantasi, seram jadi terapi Nana

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.