SIMANGGANG: Rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga akan terus mengalami peningkatan taraf hidup selagi mereka terus kekal setia bersama kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ini kerana Kerajaan GPS yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg banyak melaksana projek mega dalam negeri ini dengan kawasan DUN Lingga tidak terlepas daripada menerima tempias arus pembangunan itu.
“Kawasan DUN Lingga misalnya tidak ketinggalan dari segi arus pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan GPS apabila terlaksananya Projek Jalan Utama Kedua dan Jambatan Batang Lupar II di sini.
“Selain perlaksanaan projek mega tersebut, Kerajaan GPS juga turut melaksana beberapa projek pembangunan di sini seperti tebingan sungai, pusat perkhidmatan, benteng sungai dan banyak lagi,” kata beliau.
Simoi ketika berucap ringkas pada majlis penyerahan geran kerajaan di bandar ini berharap agar kelancaran projek berkenaan dikekalkan menerusi sokongan padu rakyat DUN Lingga terhadap kerajaan sedia ada ketika ini.
“Apabila siap kelak kesemua projek berkenaan akan menukar landskap pembangunan dalam kawasan DUN Lingga yang semestinya menyumbang kepada peningkatan taraf sosial rakyat di sini,” kata beliau.
Terdahulu Simoi pada majlis itu telah pun menyampaikan geran kerajaan yang mencakupi nilai keseluruhan sebanyak RM14,000 kepada lima Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta satu persatuan di sini.
Penerimanya adalah JKKK Rumah Wayne Jaya, JKKK Rumah Luang Juman, JKKK Rumah Kunjang Engkarik, JKKK Nyuin Geronjong, JKKK Kampung Pasir Panas serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sembayang.
Simoi juga turut menyampaikan Watikah Pelantikan Semula Ketua Kaum kepada Tuai Rumah (Tr) Luang Juman dan Tr Kunjang Engkarik ketika berlangsungnya majlis penyerahan geran itu.
Oleh VALENTINE NGUMBANG