

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan diketuai oleh Pengerusinya, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie ‘turun padang’ ke Jalan Ling Chu Ming (tebing barat) hingga ke Sungai Sadit, yang dilanda banjir pagi tadi.
Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut, mereka bertindak memasang pita keselamatan di sepanjang jalan tersebut.
Kevin Lau berkata, beliau menerima panggilan daripada penduduk setempat semalam, yang meluahkan kebimbangan terhadap kenaikan paras air yang berterusan serta keadaan banjir yang semakin teruk di kawasan rendah, sekali gus mendatangkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.
“Kami ‘turun padang’ pagi ini, melihat beberapa kawasan yang dinaiki air dan pihak berkuasa berkaitan telah pun memasang pita keselamatan di beberapa lokasi.
“Bagi kawasan lain yang masih belum dipasang pita keselamatan, pemimpin masyarakat setempat telah menggesa ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk melakukannya secara berperingkat bagi memastikan keselamatan penduduk,” jelasnya.
Selain itu, beliau juga menambah bahawa beberapa jalan raya yang ditenggelami air mempunyai paras banjir yang tinggi, mencecah paras lutut.
“Namun, masih terdapat ramai penunggang motosikal yang meredah banjir, yang mana ia adalah amat berbahaya. Ia bukan sahaja boleh merosakkan motosikal tetapi juga membahayakan keselamatan diri.
“Oleh itu, saya menasihatkan penduduk untuk tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan mendesak,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau turut menekankan bahawa pemasangan pita keselamatan itu bukanlah penyelesaian segera terhadap masalah banjir, tetapi merupakan langkah sementara yang penting bagi membantu memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kami akan terus memantau keadaan banjir serta perubahan paras air. Pada masa sama, saya menyeru semua penduduk yang terjejas banjir supaya mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya, mematuhi peraturan keselamatan dan mengelakkan meredah banjir demi keselamatan diri,” tegasnya.
Turut hadir, Kaunselor Yong Ing Hock, Kaunselor Justin Wong, Kaunselor Rory Wong, Penghulu Tiew Siik Nieng, Penghulu Wong Ung, Kapitan Chew Hoo Kiong dan ahli-ahli SUPP Bawang Assan.
Oleh Akun Giman