LAWAS: Semua pegawai dibawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Sarawak wajar turun padang melihat keperluan untuk rakyat.
Usaha Pengarah KPLB Sarawak Syafiq Anas Abdullah yang telah turun padang walaupun baru dilantik pada 12 Julai lalu untuk menerajui KPLB Sarawak adalah sesuatu yang amat dipuji dan menjadi contoh kepada semua pengarah-pengarah dibawah KPLB.
Timbalan Menteri KPLB Dato Henry Sum Agong menjelaskan bahawa melalui tindakan turun padang bukan sahaja memberi peransang kepada pegawai-pegawai di peringkat bawah, tetapi mampu memberi input secara tepat berbagai isu dalam perlaksanaan projek pembangunan dibawah KPLB.
Henry Sum yang juga Ahli Parlimen Lawas menyatakan demikian kepada media selepas melakukan simbolik penyerahan bantuan bakul makanan dibawah Program Perpaduan Komuniti KRT Cares di Dewan Masyarakat Trusan semalam.
Seterusnya beliau memberitahu banyak perkara dan isu telah dikenal pasti oleh Pengarah KPLB Sarawak semasa lawatan kerja ke Ba’kelalan dan Lawas.
Ini akan memudahkan perancangan dibuat dengan berkesan dan menepati keperluan setempat.
“Inilah yang kita mahu dan terima kasih kepada Syafiq Anas Abdullah yang telah bersama-sama melawat Bakelalan dan Lawas.
Lawatan beliau memberi peransang kepada semua dan wajar dicontohi dalam memudahkan khidmat kepada rakyat lebih berkesan dan efesien,” tambahnya.
Henry Sum telah bersama Syafiq Anas melawat ke Merapok, Kuala Lawas, Punang, Sundar dan Trusan sebaik tiba daripada Bakelalan malam semalam.
Sementara itu, pegawai-pegawai kanan KPLB Sarawak turut mengagumi Henry Sum sebagai pemimpin yang kuat bekerja, cergas dan mampu berjalan kaki sejauh 2 Kilometer melalui tanah sawah di Bakelalan tanpa masalah.
Malahan setiba di Lawas pada malam semalam, mereka telah dibawa oleh Timbalan Menteri melawat ke beberapa kawasan di Lawas untuk mereka mengetahui keadaan dan keperluan disetiap tempat di Lawas.
Oleh ADENG EDRUS