
PERHIMPUNAN ‘Turun Anwar’ yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada Julai 2025 telah mencetuskan pelbagai reaksi politik dan sosial, namun sejauh manakah impaknya terhadap kerajaan dan landskap politik negara?
Perbincangan ini meneliti perhimpunan tersebut secara menyeluruh dengan menilai objektif sebenar penganjuran, respons rakyat, dan naratif yang dibentuk oleh kerajaan serta pembangkang dalam konteks sistem demokrasi Malaysia pasca-PRU15.
Strategi pembangkang: Politik sentimen lawan dasar
Penganjuran perhimpunan ini jelas menunjukkan usaha terancang pembangkang-terutama PAS melalui Dewan Pemudanya, untuk menghidupkan momentum politik yang kelihatan semakin suram di Parlimen.
Dalam situasi PN kurang menyerlah dalam perbahasan dasar dan usul di Dewan Rakyat, demonstrasi jalanan menjadi pilihan untuk mencipta persepsi krisis dan seolah-olah wujud gelombang penolakan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun begitu, perhimpunan ini lebih banyak memperlihatkan kelemahan strategi pembangkang berbanding kekuatannya.

Sasaran kehadiran yang diuar-uarkan oleh pemimpin PN seperti Hamzah Zainudin, antara 300,000 hingga sejuta peserta – gagal dicapai, apabila laporan rasmi menunjukkan sekitar 18,000–20,000 sahaja hadir.
Jurang besar antara propaganda dan realiti ini menimbulkan persoalan tentang kemampuan mobilisasi pembangkang serta tahap sokongan sebenar yang mereka miliki di peringkat akar umbi.
Lebih penting, kekurangan tawaran dasar alternatif, ketiadaan calon Perdana Menteri pengganti, dan naratif yang hanya bersifat reaktif menunjukkan bahawa pembangkang terperangkap dalam politik populis tanpa visi kepimpinan yang meyakinkan.
Kesan minimum terhadap Perdana Menteri dan kerajaan
Dari sudut kedudukan Perdana Menteri, impak perhimpunan ini adalah minimum. Tiada tanda-tanda perpecahan dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan, tiada kehilangan sokongan institusi seperti penjawat awam atau pelabur, dan tiada usul undi tidak percaya yang dibawa ke Parlimen.
Kesemua ini membuktikan bahawa kerajaan masih berfungsi dalam keadaan stabil dan berlegitimasi penuh.
Namun, kerajaan tidak boleh alpa. Kehadiran walaupun kecil tetap menunjukkan wujudnya kelompok tidak puas hati, khususnya berkaitan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan akses kepada perkhidmatan awam.
Oleh itu, naratif dasar Kerajaan Perpaduan perlu diperkuatkan dan pelaksanaan dasar mesti lebih dinikmati oleh rakyat biasa.
Tindakan kerajaan memperkenalkan bantuan tunai RM100 dan menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter sebelum himpunan berlaku, walaupun dilabelkan sebagai langkah populis, sebenarnya mencerminkan sikap responsif dan adaptif kerajaan terhadap sentimen rakyat.
Perkara ini adalah cerminan kerajaan yang mendengar, bukan menindas.
Petunjuk cuaca politik: bara bawah permukaan
Adakah himpunan ini petunjuk kepada arah tuju politik negara? Jawapannya bersifat relatif.
Ia bukanlah lonjakan besar yang mengubah landskap politik, tetapi menunjukkan masih wujud ‘bara’ ketidakpuasan, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu konservatif dan golongan muda yang lebih mudah dipengaruhi naratif media sosial dan emosi agama atau perkauman.
Namun, perhimpunan ini gagal menterjemahkan keresahan tersebut kepada satu gerakan politik yang terarah.
Ketiadaan gagasan konkrit menjadikan mesej yang dibawa oleh PN kabur dan sukar diterjemah menjadi kesedaran politik nasional.
Dalam erti kata lain, perhimpunan ini lebih bersifat simbolik berbanding substantif.
Arus sokongan Melayu: pecah, tidak berpindah
Sokongan pengundi Melayu kekal terpecah antara UMNO, PAS-PN, dan PKR/AMANAH.
Dalam PRU15, PN menunjukkan kekuatan luar bandar melalui penggunaan sentimen agama dan bangsa terutama negeri di pantai timur dan utara, manakala UMNO masih cuba bangkit selepas kejatuhan reputasinya akibat isu 1MDB
Sebaliknya, PH berjaya memikat sokongan Melayu bandar dan kelas menengah melalui naratif progresif dan dasar inklusif.
Namun begitu, momentum PN kini kelihatan tidak setajam dua tahun lalu.
Hal ini kerana retorik mereka tidak disusuli dengan tawaran dasar atau pelan pembaharuan institusi yang konkrit.
Himpunan seperti ini tidak memulihkan kekuatan mereka, sebaliknya menyerlahkan ketandusan gagasan dan pergantungan kepada pendekatan retorik.
Pilihan raya: serentak atau terpisah?
Persoalan sama ada PRU dan PRN (Melaka, Johor) akan diadakan serentak atau berasingan bergantung kepada beberapa faktor: tahap kestabilan politik, tekanan ekonomi, dan momentum sokongan rakyat.
Buat masa ini, Kerajaan Perpaduan dijangka kekal kepada jadual sedia ada yang terpisah.
Namun sekiranya kerajaan merasakan perlu memperbaharui mandat melalui sokongan rakyat, penyelarasan pilihan raya mungkin berlaku.
Bagaimanapun, strategi ini perlu berdasarkan kekuatan naratif kerajaan dalam memperlihatkan kejayaan dasar dan kestabilan, bukannya bertindak balas terhadap tekanan jalanan seperti perhimpunan ‘Turun Anwar’.
Ketandusan kepimpinan alternatif dan tiada usul Parlimen
Satu kegagalan besar dalam perhimpunan ini ialah ketiadaan calon pengganti Anwar yang dikemukakan secara jelas.
Aspek ini menunjukkan bahawa pembangkang bukan sahaja gagal menawarkan dasar, malah gagal menawarkan kepemimpinan.
Lebih memburukkan, pembangkang juga tidak berani membawa usul undi tidak percaya di Parlimen.
Jika benar mereka yakin bahawa kerajaan telah hilang legitimasi, Parlimen adalah medan sah untuk membuktikannya.
Tanpa tindakan ini, himpunan jalanan dilihat hanya sebagai permainan persepsi dan tekanan psikologi, bukan strategi untuk menukar kerajaan.
Keletihan politik dan transformasi budaya protes
Kehadiran yang sederhana ke perhimpunan ini mencerminkan dua perkara: keletihan politik rakyat selepas hampir 12 tahun ketidakstabilan, dan perubahan budaya protes.
Rakyat kini lebih cenderung menyuarakan pandangan melalui media sosial, petisyen dalam talian, dan gerakan masyarakat sivil yang berasaskan fakta dan bukti.
Protes jalanan tidak lagi menjadi penentu utama legitimasi politik seperti era Reformasi.
Sebaliknya, kerajaan dinilai melalui prestasi, komunikasi dasar, dan keberkesanan pelaksanaan.
Dalam konteks ini, Kerajaan Perpaduan lebih berjaya kerana ia memberi tumpuan kepada dasar, bukan hanya wacana.
Protes sebagai hak, bukan mekanisme pengganti pilihan raya
Malaysia kini berada dalam era demokrasi matang. Protes tetap hak rakyat, namun untuk menukar kerajaan, salurannya ialah Parlimen dan pilihan raya.
Selagi Anwar mempunyai majoriti dan menyampaikan prestasi dasar yang dirasai rakyat, tiada demonstrasi jalanan—walau sekuat mana pun—yang boleh menumbangkan beliau secara sah.
Perkara ini membezakan Malaysia hari ini dengan Malaysia zaman Reformasi.
Ketika itu, media dikawal, institusi berat sebelah, dan ruang politik tertutup.
Hari ini, kerajaan membuka ruang dialog, membenarkan perhimpunan aman, dan tidak menggunakan kekerasan yang membuktikan kematangan demokrasi dan kemajuan institusi.
Isyarat lemah, strategi gagal
Perhimpunan ‘Turun Anwar’ bukanlah titik perubahan politik, tetapi isyarat lemah terhadap ketidakupayaan pembangkang menawarkan alternatif.
Ia gagal mencapai objektif mobilisasi besar-besaran, tidak mengemukakan hujah yang kukuh, dan tiada pelan dasar yang memikat hati rakyat.
Sebaliknya, Kerajaan Perpaduan dilihat menunjukkan keupayaan mendengar, merespons secara berhemah, dan terus memperkukuh reformasi Madani.
Masa depan politik negara bukan ditentukan oleh suara terbawa-bawa emosi jalanan, tetapi oleh keupayaan pemimpin membina dasar, melaksanakan pelan transformasi, dan memenangi kepercayaan rakyat melalui prestasi.
Jika pembangkang ingin kekal relevan, mereka mesti keluar dari bayang-bayang politik slogan, dan mula membina kredibiliti melalui dasar dan kepimpinan alternatif yang diyakini.
Jika tidak, episod ‘Turun Anwar’ akan tercatat dalam sejarah politik Malaysia hanya sebagai gema retorik tanpa gema perubahan.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).