KAPIT: Tuntutan dan pemulihan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah demi keadilan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini bagi memastikan Sarawak memperoleh hak yang sewajarnya dalam aspek ekonomi, autonomi pendidikan dan hasil sumber asli.
“Pemulihan hak MA63 adalah langkah penting untuk memastikan Sarawak tidak hanya menjadi penyumbang utama kepada Malaysia, tetapi juga menikmati hasil sumbangan tersebut secara adil.
“Ini adalah perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan keamanan dalam memperingati ulang tahun ke-100 Majlis Perdamaian Kapit di Dewan Suarah Kapit di sini, hari ini.
Uggah berkata, GPS komited untuk memastikan dasar-dasar kerajaan bersifat inklusif dengan matlamat utamanya meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan tempat.
Menurutnya, pendekatan dasar yang inklusif bukan sahaja menjamin keadilan sosial, malah juga membentuk asas kepada pembangunan mampan Sarawak.
“GPS akan memastikan dasar yang dilaksanakan dapat memenuhi keperluan semua rakyat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.
Mengenai majlis itu, beliau menyifatkan pendamaian dicapai pada 16 November 1924 yang berjaya menamatkan konflik antara pelbagai puak di Sarawak sebagai simbol perpaduan yang perlu terus dijaga dan diperkukuh.
“Saya menyeru rakyat Sarawak agar terus menyokong GPS dalam usaha merealisasikan visi Sarawak sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030 dengan berlandaskan semangat ‘Segulai Sejalai’ yang menekankan perpaduan dan kesepakatan.
“Kita harus menghayati semangat damai ini dalam setiap tindakan kita, sama ada dalam pentadbiran, pembangunan, mahupun kehidupan seharian,” katanya.
Majlis tersebut dianjurkan untuk memperingati ulang tahun ke-100 upacara pendamaian yang dicapai pada 16 November 1924 sekali gus berjaya menamatkan konflik antara pelbagai puak di Sarawak.
Oleh Akun Giman