
MIRI: Sarawak tidak ‘keterlaluan’ dan tamak seperti digambarkan pihak tertentu apabila membuat tuntutan seperti termaktub dalam perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau
akur bahawa terdapat pihak-pihak tertentu di Sarawak dan luar Sarawak yang cuba menggambarkan Sarawak sebagai ‘keterlaluan’ dan tamak.
“Apa yang diminta oleh Sarawak adalah perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan MA63 sejak Malaysia ditubuhkan.
“Setelah mendapat kebebasan untuk menjadi sebuah yang berdaulat pada hari ini 62 tahun lalu, Sarawak telah memilih untuk menjadi sebahagian daripada sebuah entiti yang lebih besar.
“Demi keselamatan dan kemakmuran yang lebih terjamin, para tokoh kemerdekaan Sarawak telah memutuskan untuk bergabung dengan Malaya, Singapura dan Borneo Utara untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 31 Ogos 1963 dengan syarat-syarat dan keistimewan tertentu,” katanya.
Abang Johari juga berkata, kerajaan GPS amat menghargai jalinan kerjasama yang amat baik pada masa ini antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Malah katanya, di peringkat pusat Sarawak diwakili oleh seorang Timbalan Perdana Menteri, iaitu Dato Sri Fadillah Yusof selain menteri-menteri lain dari Sarawak.
“Anak Sarawak tidak pernah diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dan ini menunjukkan bahawa Sarawak di bawah platform GPS adalah kuasa politik yang disegani dan dihormati.
“Sebagai Ketua Kerajaan GPS saya ingin menyatakan bahawa jalinan kerjasama yang erat ini antara Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan GPS akan diteruskan untuk kepentingan bersama bagi negara dan Sarawak.
“Saya amat yakin perjuangan untuk memakmurkan Sarawak tidak akan menjejaskan usaha keseluruhan untuk memakmurkan negara.
“Pertambahan kepada hasil Sarawak khususnya melalui Cukai Jualan Negeri (SST) tidak akan mengurangkan hasil negara kerana Kerajaan Persekutuan mempunyai ruang yang cukup besar untuk mempertingkatkan hasil negara tanpa membebankan rakyat,” katanya.
Oleh Kadir Dikoh