TUNKU Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah satu nama yang tidak asing bagi rakyat di negara kita. Anak raja dari Kedah ini mempunyai sumbangan besar dalam pembangunan negara. Almarhum yang menempuh kehidupan dari zaman penjajahan British dan kependudukan Jepun mempunyai jiwa merdeka. Hal ini boleh kita lihat kepada usahanya untukmembebaskan Tanah Melayu dari penjajahan British, seterusnya berusaha memerdekakan Sarawak dan Sabah dalam satu gabungan besar yang dikenali sebagai Malaysia.
LATAR BELAKANG
Tunku Abdul Rahman dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar, Kedah, anak kepada Sultan Abdul Hamid dan ibunya pula Cik Menjalara adalah anak kepada Pegawai Daerah di utara Thailand. Semasa usia kanak-kanak, Tunku mengalami masalah kesihatan. Masalah ini tidak menghalangnya untukmenjadi kanak-kanak yang aktif. Beliau berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira darjat.
Malah Almarhum berkawan dan bermain dengan kanak-kanak di kampung. Keaktifannya itu membantu kekuatan fizikal untuk mengatasi masalah kesihatan yang sering alami. Dalam aspek pendidikan, Tunku telah bersekolah di Government English School Kedah di Alor Setar dan Penang Free School. Seterusnya beliau mendapat biasiswa dari kerajaan Kedah untuk belajar di England. Tunku Abdul Rahman kemudian mendapat sarjana muda di St. Catherine’s College, Cambridge dan meneruskan pengajian di England dalam bidang undang-undang.
Dari segi kerjaya, Almarhum pernah menjawat beberapa jawatan di dalam pentadbiran Kedah seperti kadet di Pejabat Penasihat undang-undang, Penolong Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah. Pada zaman pendudukan Jepun, beliau masih menjawat jawatan Pegawai Daerah dan seterusnya sebagai Penyelaras Pendidikan sehingga kekalahan Jepun. Dua tahun selepas itu beliau meneruskan pengajian Undang-undang di England.
Pada 1949, Almarhum lulus sebagai seorang peguam. Di England beliau telah menunjukkan kepimpinannya dan pernah menjadi setiausaha bagi Persatuan Melayu Great Britain sebelum meletus Perang Dunia Kedua. Seterusnya menjadi Presiden untuk Persatuan Melayu Great Britain. Pengalaman beliau memimpin persatuan ini membina sifat-sifat kepimpinannya dalam politik di Tanah Melayu.
POLITIK
Beliau yang baru sahaja balik dari England pada awal 1949 telah menerima jawatan pengerusi cawangan
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO Kedah. Kemudian beliau melepaskan jawatan tersebut kerana dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Awam di Kuala Lumpur.
Apabila Dato Onn Jaafar meletak jawatan sebagai Presiden UMNO, Tunku dipilih sebagai presiden baharu UMNO pada 1951. Bermula disini beliau memikul tanggungjawab besar untuk merangka rancangan kemerdekaan bagi Tanah Melayu.
Almarhum bersama pemimpin UMNO yang lain kemudiannya bergabung dengan Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) untuk menghadapi pilihan raya 1955. Gabungan ini membentuk Perikatan yang menggunakan tema ‘Merdeka dalam Masa Empat Tahun”. Dalam pilihan raya tersebut pengundi telah memilih Perikatan dan membolehkan Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu. Kejayaan ini membawa kepada usaha gabungan parti Perikatan untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Dalam hal ini Tunku pernah menegaskan kepada pemerintah British bahawa British tidak mempunyai pilihan kecuali memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu atau pihak komunis akan menguasai pemerintahan di Tanah Melayu. Rentetan daripada itu, British memberi kebenaran untuk berunding mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Tunku kemudiannya mengetuai misi kemerdekaan ke London pada 1956.
Akhirnya pihak British bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1957. Pada 31 Ogos 1957, Tuanku telah mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Usaha kemerdekaan yang dilakukan oleh Tuanku ini tidak terhenti disitu sahaja.
GABUNGAN BESAR
Tuanku pernah menyuarakan untuk menggabung antara Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah pada Persidangan Agung UMNO (1955). Namun demikian idea ini tidak dapat dikembangkan kerana Tanah Melayu ketika itu masih dibawah pemerintahan British. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Tunku mula memikirkan semula satu gabungan yang besar dengan wilayah jajahan British di Asia Tenggara.
Dalam temubual pada 27 Mei 1961 kepada Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara, Tunku menyatakan bahawa satu gabungan besar (Rancangan Malaysia) bersama Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah.
Oleh kerana tidak jelas apa maksud sebenar Tuanku itu, maka pemimpin Sarawak dan Sabah tidak menunjukkan sokongan kepada idea beliau. Namun idea ini menarik minat pihak British dan mengalu-alukan cadangan tersebut sebagai salah satu usaha dekolonisasi jajahannya di Borneo.
PENERANGAN
Atas sebab itu Tunku melawat Sarawak dan Brunei untuk memberi penerangan tentang idea tersebut. Beliau menekankan bahawa idea ini memberi kemerdekaan kepada Sarawak dan Sabah yang banyak memberi faedah kepada kedua-dua negeri tersebut.
Selain itu beliau juga menjemput pemimpin Sarawak dan Sabah untuk melawat Tanah Melayu untuk melihat pembangunan di sana. Lawatan mereka ini menambah keyakinan bahawa pembentukan Malaysia akan membawa keuntungan kepada Sarawak dan Sabah.
Apabila berjumpa dengan Perdana Menteri Britain pada 1 November 1961 di London, Sir MacMillan, Tuanku mencadangkan pembentukan satu suruhanjaya untuk meninjau pandangan rakyat di Sarawak dan Sabah tentang cadangan penubuhan Malaysia. Maka lahirnya Suruhanjaya Cobbold untuk meninjau pendapat penduduk Sarawak.
DIPLOMASI
Tuanku menunjukkan komitmen tinggi untuk menjayakan usaha merealisasikan pembentukan Malaysia dengan membawa perkara ini ke Dewan Rakyat pada 16 Oktober 1961. Beliau telah menerangkan keperluan pergabungan tersebut kepada ahli-ahli parlimen Tanah Melayu ketika itu.
Walaupun majoriti pemimpin dan rakyat Sarawak dan Sabah menyokong idea pergabungan untuk membentuk Malaysia tetapi terdapat tentangan daripada kuasa luar yang menganggu proses pembentukan Malaysia. Presiden Filipina, Diosdado Macapagal membantah cadangan tersebut dan menuntut Sabah. Presiden Indonesia, Sukarno juga menentang cadangan Tunku itu. Pada 1 Februari 1963, Sukarno mengumumkan konfrontasi ke atas Malaysia.
Tuanku melihat reaksi dari dua negara jiran ini dengan sikap yang tenang. Malah beliau bersetuju dengan cadanhan “Manila Accord” untuk membawa wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) mengadakan tinjauan di Sarawak dan Sabah. Walaupun misi PBB ini melambatkan usaha membentuk Malaysia, Tunku tetap sabar untuk menunggu kelahiran Malaysia. Berkat kesabaran beliau ini, maka pada 16 September 1963 Malaysia telah dibentuk.
Rentetan daripada naratif ini menunjukkan bahawa Tunku berjaya memberi kemerdekaan bukan setakat Tanah Melayu tetapi Sarawak dan Sabah. Kejayaan ini membolehkan Malaysia menjadi lebih makmur sehingga sekarang. Selamat menyambut Hari Kebangsaan.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).