MIRI: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.
Melalui pendidikan TVET ini, negara dapat melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing di pasaran kerja.
Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bagi mewujudkan satu ekosistem TVET yang inklusif ini, ia perlu ditunjangi oleh dasar dan polisi mampan, kualiti penyedia latihan TVET dan sokongan berterusan pihak industri.
Katanya, Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Hari TVET Negara 2024 merupakan satu garis panduan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan dalam memastikan penyelarasan pelaksanaan TVET secara holistik bermula tahun ini sehingga 2030.
“Dasar TVET Negara 2030 ini sangat signifikan untuk mengekalkan daya saing global terutama dalam bidang TVET yang bermatlamat untuk melahirkan pekerja berkemahiran dengan berpendapatan tinggi.
“Sarawak akan memberi sokongan penuh kepada Dasar TVET Negara 2030 ini dengan melengkapi polisi yang sedia ada di peringkat negeri,” katanya pada Program Outreach Jelaskan Madani Jom Masuk TVET Zon Sarawak di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, hari ini.
Teks ucapan Lee dibaca oleh wakilnya, Kaunselor Jeffery Phang, menambah bahawa seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 menekankan aspek peningkatan sebanyak 20 peratus enrolmen pelajar TVET yang akan menjadi modal insan dalam pembangunan ekonomi Sarawak iaitu Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“SCORE merupakan koridor ekonomi baharu yang meliputi wilayah tengah ke wilayah utara Sarawak dan bakal mewujudkan pertumbuhan ekonomi baharu di Tanjung Manis, Mukah, Tunoh, Baram, Limbang & Lawas.
“Premier Sarawak semasa Worldskills Malaysia Sarawak 2023 menegaskan bahawa satu juta peluang pekerjaan akan ditawarkan menjelang tahun 2030 dan memerlukan pekerja yang berkemahiran tinggi dan kompeten yang dihasilkan oleh penyedia latihan TVET,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, TVET pada hari ini dilihat sebagai satu ‘Game Changer’ pada sistem pendidikan, TVET seharusnya menjadi keutamaan kepada belia dalam menyambung pengajian.
“TVET menjanjikan kebolehpasaran yang tinggi iaitu melebihi 90 peratus dan sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada industri.
“Di samping, itu TVET juga mampu menghasilkan ‘Job Creator’ di mana lepasan TVET yang telah menjadi usahawan dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada komuniti masyarakat,” katanya lagi.
Utusan Sarawak difahamkan program outreach ini merupakan lokasi ketiga daripada enam lokasi yang telah ditetapkan dan pertama kalinya diadakan di bandaraya Miri dan akan dilaksanakan merentasi seluruh Malaysia dalam usaha memupuk kesedaran TVET kepada komuniti dan masyarakat Malaysia.
Justeru itu, berharap program outreach insiatif Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), KESUMA menjadi satu titik permulaan kepada bidang TVET untuk lebih dikenali oleh masyarakat terutamanya di Sarawak.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Teknologi (Ts.) Zuleah Darsong, Pengurus PERKESO Miri (KESUMA) Griffin Francis Manggie, Pegawai Pendidikan Daerah Miri Mariam Haji Monek dan Pengarah ILP Miri Ts. Mustal Makmud.
Oleh Adum Liu