KUCHING : Prestasi sebenar Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya boleh dinilai dalam tempoh sekurang-kurangnya 100 hari pertama.
Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda), Dato Sim Kiang Chiok berkata sama ada Anwar telah memilih barisan Kabinet terbaik untuk memastikan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan berpuas hati, masih belum dapat dilihat.
“Kita perlu menunggu sekurang-kurangnya 100 hari atau setahun sebelum kita boleh menilai. Perdana Menteri memperkukuh komitmennya terhadap tadbir urus yang baik, bebas rasuah dan isu perkauman, serta memberi fokus kepada pemulihan ekonomi.
“Adakah Perdana Menteri baharu telah memilih Kabinet yang akan menjadi pengimbang antara mengekalkan beliau berkuasa dan memajukan negara kita dari segi peningkatan pendapatan dan pengagihan kekayaan di seluruh Malaysia?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Sarawak mahukan kestabilan dalam Kerajaan Persekutuan supaya semua orang boleh berusaha mengembangkan negeri ini daripada terlibat dalam politik sia-sia.
Katanya, barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri dibarisi pelbagai parti politik.
Sim berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini mempunyai Timbalan Perdana Menteri, yang pertama dalam sejarah Sarawak dan empat menteri penuh.
“Semua rakyat Sarawak ingin mengucapkan yang terbaik untuk mereka dalam memimpin negara kita dalam masa yang mencabar ini.
“Dengan ekonomi dunia yang melalui masa sukar berikutan perang Ukraine/Russia, inflasi yang tinggi, penutupan sempadan disebabkan Covid-19, dan gangguan rantaian bekalan yang menjejaskan semua pertumbuhan ekonomi termasuk kuasa besar, semua ini agak mencabar” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT