KOTA SAMARAHAN: Kasih seorang ayah kepada anak, pasti tidak ada tandingannya, meski pun mempunyai kelemahan diri namun Pak Man, 46, sanggup datang sendiri untuk mengambil anaknya di kampus setelah lebih sebulan terkandas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Berulang kali melafazkan tanda syukur, seorang bapa yang lebih senang dengan panggilan Pak Man gembira apabila melihat kelibat anaknya, Mohd. Faizul, keluar merapatinya untuk dibawa pulang ke rumah mereka.
Apa yang menyayat hati para barisan hadapan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang mengendali proses penghantaran pulang Institu Pengajian Tinggi (IPT) Zon Sarawak ialah indahnya kasih sayang seorang bapa untuk anaknya.
“Saya tidak mempunyai pengangkutan lain selain motosikal namun begitu saya bersyukur, anak saya telah kembali kepada keluarga.
“Saya juga ingin mengucapkan rasa terima kasih kepada UNIMAS kerana menjaga anak saya dan pelajar lain sepanjang wabak ini melanda.
“Apapun, saya berharap, warga UNIMAS yang bertugas juga menjaga diri dengan baik semasa bertugas,” sambungnya lagi.
Bagi Mohd. Faizul, penuntut UNIMAS yang mengambil jurusan Kajian Hubungan Industri dan Perburuhan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Tahun 1 turut merasa syukur kerana dibenarkan pulang bertemu keluarga semula.
“Apabila mendapat berita tersebut pada Khamis lalu, saya terus menghubungi ayah saya untuk memaklumkan kepada mereka,” katanya sambil berharap semua pelajar yang masih tinggal di kampus, untuk terus mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Saya berharap rakan-rakan yang masih terkandas supaya bersabar dan saya mendoakan semoga segala urusan dipermudahkan dan dilancarkan.
“Cepat atau lambat, kerajaan pasti akan hantar pelajar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing,” tambahnya.