
KOTA SAMARAHAN: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) hari ini, selepas menyampaikan Syarahan Negarawan di Arena Gemilang, DeTAR Putra Unimas.

Turut solat jumaat bersama adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Canselor Unimas, Prof Dr Mohd Hata Rasit.
Tun Wan Junaidi menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana diberi kesempatan untuk bersama-sama berhimpun dalam majlis ilmu dan ibadah pada hari penuh keberkatan ini.

Beliau turut mendoakan semoga Unimas terus berkembang sebagai pusat ilmu yang melahirkan insan cemerlang dan berbakti kepada agama, bangsa serta negara.