
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini telah mengunjungi ke kediaman Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, di Kenyalang Park.
Kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah pada 11.15 pagi adalah bagi menzahirkan ucapan takziah dan memberi penghormatan terakhir atas pemergian ibu kepada Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, mendiang Puan Sri Datin Amar Lim Su Kheng.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah disambut dengan penuh hiba dan hormat oleh Datuk Amar Prof. Dr. Sim, isteri beliau Dato Enn Ong Siok Ean, adik beliau Sim Kui Lian, serta anak-anak, Eason dan Simson, bersama ahli keluarga terdekat.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut meluangkan masa bersama keluarga mendiang bagi menyampaikan ucapan takziah secara peribadi, selain memberi kata-kata semangat kepada Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan ahli keluarga yang sedang melalui saat kesedihan.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mendoakan agar Datuk Amar Prof. Dr. Sim sekeluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi kehilangan besar ini.