
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Yayasan Hasanah Malaysia di kediaman rasmi, di sini.
Delegasi Yayasan Hasanah diketuai oleh Pengerusi Yayasan Hasanah, Tan Sri Md Nor Yusof, bersama Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, serta Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki.
Kunjungan hormat ini bertujuan memperkenalkan peranan Yayasan Hasanah sebagai sebuah yayasan berdaftar yang ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad serta membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh pembangunan negara, khususnya di Sarawak.
Yayasan Hasanah turut memfokuskan usahanya kepada lima bidang impak utama di seluruh Malaysia, iaitu Pendidikan, Pembangunan Komuniti, Alam Sekitar, Kesenian dan Ruang Awam, serta Pengetahuan.
Dalam sesi perbincangan, Tun Wan Junaidi menzahirkan pandangan bahawa objektif Yayasan Hasanah adalah amat selari dengan keperluan pembangunan Wilayah Sarawak.
Tun Wan Junaidi turut mengalu-alukan kerjasama yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat negeri ini.
Selain itu, Tun Wan Junaidi menekankan kepentingan memelihara dan memulihara budaya tempatan agar keaslian warisan dapat dikekalkan.
Jelas beliau, aspek budaya yang meliputi bahasa, seni persembahan dan adat resam merupakan akar identiti masyarakat serta warisan tidak ternilai untuk generasi akan datang.
Tun Wan Junaidi turut menekankan pemeliharaan budaya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, yayasan seperti Yayasan Hasanah, institusi pendidikan dan penglibatan aktif komuniti setempat agar warisan tersebut terus hidup dan dihargai.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Hasanah atas inisiatif mereka dalam menyokong pembangunan Wilayah Sarawak.
Tun Wan Junaidi menzahirkan harapan agar kerjasama strategik yang bakal terjalin dengan kerajaan negeri akan membawa impak positif serta berterusan kepada seluruh rakyat Sarawak.