
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) di kediaman rasmi mereka di sini, pagi tadi.
Kunjungan ini diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi merangkap Ahli Lembaga Pengelola UNIRAZAK, Mohamed Fairuz Mohamed Noor bersama delegasi yang terdiri daripada Pendaftar UNIRAZAK, Aini Juhaida Abu Samah, Pegawai Kanan, Perhubungan Awam dan Penjenamaan, Nur Dini Mohd Nazri dan ramai lagi.

Kunjungan ini diadakan bagi tujuan sesi fotografi rasmi, di mana Tun Wan Junaidi memakai regalia khas bersempena dengan penganugerahan Ijazah Kehormat oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTM) yang akan disampaikan pada Majlis Konvokesyen ke-10 UNIRAZAK di Kuala Lumpur pada 13 Disember depan.
Menurut pihak universiti, penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar Tun Wan Junaidi dalam pelbagai bidang termasuk tadbir urus baik, kelestarian alam sekitar, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), inisiatif Undi18 serta peranan penting beliau dalam memperkukuh sistem demokrasi dan perundangan negara semasa memegang pelbagai jawatan di peringkat Persekutuan.

Pihak UNIRAZAK turut menghargai peranan Tun Wan Junaidi dalam memudahkan urusan strategik antara universiti dan Bank Rakyat sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan yang membolehkan kerjasama dua hala dijalankan melalui program latihan tanpa melibatkan pembayaran dalam bentuk wang ringgit.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak UNIRAZAK atas kunjungan hormat ini serta penghormatan yang diberikan dan berharap agar universiti tersebut akan terus komited memperkasakan pendidikan tinggi, inovasi serta pembangunan modal insan negara.