
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi hari ini telah menyempurnakan majlis Perasmian Karnival Baca Perdana dan Pesta Buku Sarawak 2025 di The Hills Shopping Mall.
Ketibaan pada 10.00 pagi tadi telah disambut oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Datuk Dr. Abang Abdul Rauf Abang Zen, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Tuan Japri Bujang Masli, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Edy Irwan Zulkafli, serta tetamu kehormat lain.
Majlis perasmian dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan, persembahan selamat datang, bacaan doa, serta persembahan Bicara Berirama oleh pelajar Kolej Datuk Patinggi Haji Abang Abdillah, Kuching.
Seterusnya, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah dijemput menyempurnakan gimik perasmian melalui penandatanganan digital sebelum tayangan montaj khas Pesta Buku ditayangkan.
Acara turut diserikan dengan pelancaran tujuh buku baharu tempatan serta penyampaian Anugerah Pengiktirafan Pembaca Aktif 2024 dan Anugerah Pemenang Pertandingan Bicara Berirama: Perpaduan dalam Kepelbagaian.


FOTO Astana Negeri Sarawak
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut meluangkan masa melawat reruai pameran buku yang dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak bersama rakan strategik, termasuk Kementerian Perpaduan Negara, Perpustakaan Negara Malaysia, syarikat-syarikat buku serta pelbagai agensi lain.
Tun Wan Junaidi menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar penganjuran Pesta Buku Sarawak 2025 ini akan terus meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat serta memperkukuh industri perbukuan tempatan.