
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menyempurnakan Majlis Sumbangan Tautan Kasih di Pasar Raya Besar Mydin Vista Tunku, pagi tadi.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah telah disambut oleh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmi Othman, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datu Felicia Tan Ya Hua serta Pengurus Wilayah (Sarawak dan Sabah) Pasar Raya Mydin, Zulkifli Yunus.
Sejurus tiba, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah diiringi anaknya Sharifah Fariah dan Sharifah Nong Jasima, menantu Hakeem, serta cucu Athena, telah berbelanja barangan keperluan menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Barangan dan wang tunai tersebut kemudiannya diserahkan kepada 100 orang penerima terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim serta golongan kurang berkemampuan dari sekitar Bahagian Kuching dan Daerah Bau.

Untuk makluman, idea bagi melaksanakan sumbangan ini timbul secara spontan hasil daripada perbualan santai Tun Wan Junaidi bersama keluarga setelah mendapati beliau dan Toh Puan Fauziah juga turut tersenarai sebagai penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Hasil daripada perbualan kecil di meja makan juga, maka hadir satu ilham murni untuk mengembalikan bantuan yang diterima kepada masyarakat dalam bentuk amal jariah.
Susulan itu, Tun Wan Junaidi telah mengarahkan Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertua Negeri, Dato Seri Syed Hamzah Syed Paie untuk mengadakan majlis bagi merealisasikan hasrat murni tersebut.
Hasil usaha penyelarasan bersama pihak Astana dengan kerjasama Pasar Raya Mydin dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, akhirnya Majlis Sumbangan Tautan Kasih ini berjaya dilaksanakan dengan mengumpulkan seramai 100 orang penerima daripada pelbagai kaum dan agama, diraikan dalam semangat kasih dan kebersamaan.

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Pasar Raya Mydin, JKM Sarawak, serta pegawai-pegawai Astana Negeri atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan majlis ini.
Menurut beliau, nilai sebenar sumbangan bukan terletak pada jumlah wang yang diberi, tetapi pada keikhlasan dan semangat berkongsi rezeki.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan harapan agar usaha seperti ini dapat menjadi contoh kepada mereka yang berkemampuan agar turut bersama membantu golongan yang kurang bernasib baik, tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.

Setiap sen yang disalurkan dengan niat ikhlas akan membawa keberkatan bukan sahaja kepada penerima, tetapi juga kepada kita semua sebagai masyarakat yang bersatu hati.
Majlis ini melambangkan semangat tautan kasih yang wajar disemai dalam diri setiap rakyat Sarawak agar terus menjadi masyarakat yang penyayang, prihatin dan saling membantu.