
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meluangkan masa meninjau keperluan menjelang Ramadan ketika berkunjung ke Pusat Beli-Belah Majma di sini, hari ini.
Tun Wan Junaidi serta isteri tiba sekitar 1.00 petang dan disambut oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha dan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.
Kunjungan tersebut bertujuan meninjau persiapan menyambut bulan Ramadan termasuk mendapatkan barangan keperluan, selain melihat secara dekat penganjuran Festival Majma Raya yang menjadi antara tarikan utama menjelang Aidilfitri.

Keberangkatan ini turut mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha Majlis Islam Sarawak dalam menyemarakkan suasana Ramadan serta menggalakkan penglibatan komuniti melalui aktiviti keagamaan dan ekonomi setempat.
Inisiatif seumpama ini bukan sahaja merancakkan aktiviti perniagaan, malah menjadi platform memperkukuh ukhuwah dan kebersamaan antara kepimpinan negeri dan rakyat dalam suasana penuh keberkatan menjelang bulan yang mulia.
-UKAS