
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Kesyukuran sempena sambutan Hari Lahir Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-79 di Masjid Jamek di sini, malam ini.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah pada 6.26 petang disambut oleh Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama anaknya, Dayang Norjihan.
Majlis dimulakan pada 6.31 petang dengan solat fardu Maghrib berjemaah dan bacaan Yasin yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi diikuti alunan Zikir Marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Kuching.

Doa kesyukuran turut dipimpin oleh Dato Mustapha Kamal sebelum majlis diteruskan dengan solat fardu Isyak berjemaah dan diakhiri dengan jamuan makan malam bersama jemaah serta para tetamu.
Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dan tetamu kenamaan yang lain.
-UKAS