
BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menghadiri Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam, hari ini.
Istiadat tersebut sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79.
Istiadat tersebut telah berlangsung dengan penuh adat dan tradisi diraja pada 10.30 pagi tadi di Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.
Turut hadir Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Hajah Saleha.
Tun Wan Junaidi dan isteri beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei Darussalam atas jemputan ke istiadat berkenaan.
Kehadiran Tun Wan Junaidi dan isteri beliau pada majlis tersebut mencerminkan hubungan akrab dan persahabatan yang erat antara Brunei Darussalam dan Malaysia, khususnya Sarawak.
Selain itu, Tun Wan Junaidi dan isteri beliau turut mendoakan agar hubungan diplomatik dan muhibah yang telah lama terjalin ini akan terus berkembang kukuh serta membawa kemakmuran dan manfaat yang berpanjangan kepada kedua-dua negara serumpun.
Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama isteri, Dato Hajah Dayang Morliah Datuk Awang Daud serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
-Astana Negeri Sarawak