
MIRI: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah selamat tiba di Lapangan Terbang Miri pada 2.40 petang tadi, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Kuala Lumpur.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah telah disambut dengan penuh meriah oleh Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah DBKU dan Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Turut hadir menyambut ketibaan Tun Wan Junaidi, Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Setiausaha-setiausaha politik, serta ketua-ketua kaum dan masyarakat setempat.

Sejurus ketibaan juga, Toh Puan Fauziah turut menerima bunga daripada adik Arryanna Qaisarra.
Lawatan rasmi ke Miri ini adalah bersempena dengan sambutan Hari Sarawak 2025, sebuah acara bersejarah dan penuh bermakna yang diraikan oleh seluruh rakyat negeri ini.
Tahun ini, Miri diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi sambutan berprestij ini.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sarawak 2025 atas jemputan dan segala usaha dalam menjayakan penganjuran acara ini.
Tun Wan Junaidi mendoakan agar segala program yang dirancang berlangsung dengan jayanya dan dapat menyemarakkan semangat kecintaan serta patriotisme dalam kalangan rakyat Sarawak.