
BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di Brunei Darussalam hari ini bagi menghadiri sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah yang ke-80.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 12.10 tengah hari disambut oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Halbi Md Yussof bersama isteri, Datin Paduka Kalthum Apong.
Hadir menyambut ketibaan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Muhammad Haszaimi Bol Hassan; Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman Aliddin; Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Awang Ajman Meludin serta pasangan masing-masing.

Sejurus tiba, Tun Wan Junaidi menerima penghormatan memeriksa Kawalan Kehormatan Diraja Brunei sebelum berangkat ke penginapan rasmi.
Keberangkatan rasmi tersebut adalah atas jemputan Kerajaan Brunei Darussalam bagi menghadiri beberapa majlis dan istiadat rasmi sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Brunei yang ke-80.
Lawatan berkenaan turut mencerminkan hubungan persahabatan erat yang sekian lama terjalin antara Sarawak dan Brunei Darussalam, selain membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama dua hala demi kepentingan bersama.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan harapan agar segala urusan sepanjang lawatan rasmi itu berjalan lancar serta terus mempererat hubungan akrab antara Sarawak dan Brunei Darussalam.
Turut mengiringi keberangkatan rasmi Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama isteri, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud.




