
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini telah menerima kunjungan sembilan orang ahli Persatuan Pelajar Sarawak dari United Kingdom dalam satu sesi perjumpaan santai di kediaman rasmi beliau.
Delegasi pelajar tersebut diketuai oleh Cik Summer Bay, dengan tujuan utama untuk memperkenalkan barisan kepimpinan persatuan serta mendapatkan pandangan dan nasihat secara langsung daripada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah.
Dalam pertemuan tersebut, Tun Wan Junaidi telah berkongsi pandangan dan pengalaman beliau secara panjang lebar, khususnya berkaitan bidang perundangan negara dan negeri.
Tun Wan Junaidi turut menekankan kepentingan bagi rakyat Sarawak, khususnya generasi muda, untuk memahami secara mendalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Sarawak serta peranan dan tanggungjawab Yang di-Pertua Negeri.
Selain itu, Tun Wan Junaidi turut menyentuh mengenai keunikan undang-undang Sarawak yang merangkumi hak tanah adat Bumiputera (NCR), serta menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan cadangan penubuhan fakulti undang-undang di universiti tempatan di Sarawak bagi melahirkan lebih ramai pakar perundangan tempatan yang arif tentang konteks perundangan negeri sendiri.
Tun Wan Junaidi menyarankan agar pelajar yang bakal menjalani amalan guaman bersikap rajin menghadiri prosiding mahkamah bagi menimba lebih banyak pengalaman dan tidak mengambil jalan mudah dalam apa jua perkara.
Tun Wan Junaidi turut mengingatkan para pelajar tentang dasar kerajaan Sarawak yang menekankan penciptaan peluang pekerjaan untuk rakyat, serta kepentingan untuk kembali berbakti dan menyumbang kepada kemajuan negeri setelah menamatkan pengajian kelak.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan penghargaan kepada semua yang hadir serta mendoakan kejayaan masing-masing dalam bidang yang diceburi, agar kelak menjadi aset penting kepada Sarawak. -Astana Negeri Sarawak