
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan sempena Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 1447H/2025M di Astana Negeri.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.


Foto: Astana Negeri Sarawak
Dalam kunjungan tersebut, rombongan telah menyampaikan warkah jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bagi menyempurnakan Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 1447H/2025M yang bakal diadakan pada 16 Oktober ini di Dewan Kompleks Islam, Sibu.
Seminar tersebut dijangka menghimpunkan para ilmuwan Islam, pegawai agama, serta wakil agensi kerajaan dalam membincangkan pelbagai isu dan cabaran berkaitan hukum-hakam serta pelaksanaan fatwa di Sarawak.
Tun Wan Junaidi dalam kesempatan itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Jabatan Mufti Sarawak serta semua agensi terlibat atas usaha memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap hukum Islam dan peranan institusi fatwa di negeri ini.


Foto: Astana Negeri Sarawak
Tun Wan Junaidi turut menzahirkan harapan agar penganjuran seminar tersebut menjadi wadah memperkukuh ukhuwah dan kefahaman umat Islam dalam menghadapi isu-isu semasa dengan berpaksikan syariat dan perpaduan ummah.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin dan Temenggong Bahagian Sibu, Dato Sri Wan Hamid Edruce Tku Mohammad.
Hadir sama Pegawai Agama Islam Bahagian Sibu, Ustazah Rafeah Buang, Timbalan Pengarah Jabatan Mufti Sarawak, Ustaz Wan Shaifuddin Wan Madihi, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Sarawak, Ustaz Mohammad Syarifuddin Abdul Kadir serta Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Sibu, Nursyarmilla Jeruis.