
PETRA JAYA: Sejurus selesai menerima kunjungan hormat JAKIM, Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi seterusnya menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pustaka Negeri Sarawak pada 10.55 pagi tadi bertempat di Astana Negeri.
Objektif delegasi tersebut yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri, Japri Bujang Masli adalah untuk memanjangkan warkah rasmi Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Buku Sarawak 2025 yang akan berlangsung pada 27 Ogos hingga 5 September nanti di The Hills Mall di sini.
Selain itu, kunjungan tersebut juga adalah bagi menjemput secara rasmi Toh Puan Fauziah untuk menyempurnakan Majlis Dekad Membaca Kebangsaan yang akan berlangsung pada 16 Ogos di Pustaka Negeri Sarawak.

Pada pertemuan tersebut, Tun Wan Junaidi mengesyorkan peranan utama yang dimainkan ibu bapa untuk menarik minat generasi muda membaca buku.
Tun Wan Junaidi berpendapat bahawa ibu bapa hendaklah sentiasa membaca buku di hadapan anak-anak mereka supaya ia menjadi contoh dan tarikan kepada anak-anak untuk suka membaca khasnya pada era zaman yang tertumpu kepada media sosial seperti sekarang.
Seterusnya, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah juga diperkenalkan kepada maskot bernama Amelia sempena program Dekad Membaca Kebangsaan.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah amat menghargai usaha seperti ini untuk menggalakan lebih ramai rakyat kembali berminat untuk membaca buku yang sudah tentu akan menambah ilmu pengetahuan dan senaman minda.
Tun Wan Junaidi menyarankan agar mencari cara untuk menggalakkan ibu bapa mula membaca sebagai contoh teladan terdekat kepada anak-anak.