
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, di Astana Negeri, hari ini.
Pertemuan yang berlangsung selama hampir satu jam itu membincangkan peranan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam menyokong kestabilan ekonomi peneroka, khususnya dalam konteks pembangunan wilayah Sarawak.
Pada pertemuan tersebut, Ahmad Shabery turut menzahirkan penghargaan serta rasa kagum terhadap kepimpinan Tun Wan Junaidi yang komited dalam melaksanakan amanah serta mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap kemajuan Sarawak dalam bidang ekonomi hijau dan ekonomi digital yang kini menjadi contoh di peringkat nasional.
Selain itu, Ahmad Shabery berkongsi maklumat mengenai program-program terkini FELDA yang dirangka bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai status negeri maju.
Tun Wan Junaidi berharap agar kerjasama antara agensi Kerajaan Persekutuan dan Sarawak akan terus diperkukuhkan dalam memacu agenda pembangunan negeri.
Turut hadir Pengarah Operasi Perladangan, Razuan Che Rose; Ketua Pegawai Khas, Mohamad Halizi A. Bakar; Pegawai Khas, Mohamad Isa Hassan; serta Pegawai Khas, Abdul Azim Abdul Rahim.