
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Menteri Tenaga Manusia yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Sains, Teknologi dan Tenaga Republik Singapura, Dr Tan See Leng, di Astana Negeri, hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, Dr Tan berkongsi pandangan dan maklumat berkaitan beberapa perkara penting, termasuk perkembangan reformasi undang-undang di peringkat nasional, pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta inisiatif ‘up-skilling’ dan ‘re-skilling’ yang lebih menyeluruh, terutamanya bagi komuniti luar bandar di Sarawak.
Sebagai tanda hubungan mesra dua hala, Dr Tan turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi untuk mengadakan lawatan balas ke Singapura dalam masa terdekat.
Terdahulu, delegasi dari Singapura itu turut mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, yang baru sahaja dirasmikan semalam.
Kunjungan ini mencerminkan usaha berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama strategik khususnya dalam bidang tenaga, pendidikan teknikal dan inovasi. -UKAS