
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping, di Astana Negeri, hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan Xing Weiping secara rasmi sebagai Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, di samping memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin erat antara Sarawak dan Republik Rakyat China.
Pada pertemuan tersebut, Tun Wan Junaidi dan Xing Weiping telah bertukar pandangan mengenai pelbagai bidang strategik termasuk ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau serta pembangunan sektor pertanian, khususnya usaha Sarawak untuk menjadi pengeluar beras utama negara.

Xing Weiping turut menyatakan kekaguman terhadap perkembangan pesat pembangunan, kestabilan politik serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak dan menegaskan komitmen China untuk terus menjadi rakan pembangunan yang signifikan dalam menyokong aspirasi Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Tun Wan Junaidi turut berkongsi pengalaman semasa berkhidmat di peringkat Kerajaan Persekutuan, termasuk beberapa lawatan rasmi ke China yang memperlihatkan transformasi pembangunan pesat negara tersebut sejak tahun 1990-an, selain menyentuh sejarah hubungan diplomatik dan perdagangan antara Malaysia dan China yang telah terjalin sejak era Perdana Menteri kedua, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan penghargaan atas kunjungan tersebut serta berharap agar hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dan Republik Rakyat China akan terus diperkasakan demi manfaat bersama kedua-dua negara.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Naib Konsul Jeneral, Chong Changhong dan tetamu kehormat lain.