
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Indonesia di Sarawak, Dr. Abdullah Zulkifli, di Astana Negeri Sarawak.
Kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan surat tauliah daripada Presiden Republik Indonesia kepada Tun Wan Junaidi, menandakan permulaan rasmi tugas Dr. Abdullah sebagai Konsul Jeneral Indonesia di Sarawak.
Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Indonesia dan Sarawak, khususnya dalam bidang ekonomi, tenaga dan pelaburan. Perbincangan turut menekankan kerjasama rentas sempadan antara Kalimantan dan Sarawak yang semakin berkembang.
Selain itu, perbincangan turut menumpukan kepada hubungan sejarah yang sekian lama terjalin antara kedua-dua wilayah serta komitmen bersama untuk memperkukuh jalinan strategik dalam pelbagai bidang, termasuk usaha meningkatkan perhubungan udara seperti penerbangan terus Kuching–Pontianak dan Kuching–Jakarta yang berperanan sebagai pemangkin kepada hubungan ekonomi dan sosial.

Dalam bidang tenaga, Sarawak kini membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan serta terlibat dalam pelaburan pembangunan projek hidroelektrik di Kalimantan Utara.
Sementara itu, Dr. Abdullah ketika ditemui media, menyatakan harapan agar hubungan ini terus diperkukuh sejajar dengan pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan yang dijangka beroperasi menjelang 2028, memandangkan kedudukan strategik Sarawak di rantau Borneo.
Beliau turut menyampaikan penghargaan atas komitmen kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Tun Wan Junaidi dan Premier Sarawak yang sentiasa berusaha memperkukuh hubungan dua hala demi kesejahteraan bersama kedua-dua bangsa.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut, isteri Dr. Abdullah, Gusti Nirmala Zulkifli; Konsul Hal Ehwal Ekonomi, Musa Derek Sairwona; Konsul Hal Ehwal Konsular, Yasfitha F. Murthias; Konsul Hal Ehwal Penerangan, Sosial dan Kebudayaan, Ely Syafitri Handayani serta Pegawai Perhubungan Tentera Indonesia, Leftenan Kolonel Cke Irwan S.Simbolon. -Japen