
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima rombongan kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Sambutan Gawai 2025 di Bilik Menghadap Utama, Astana Negeri, pagi tadi.
Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Penasihat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Kunjungan hormat tersebut adalah untuk menjemput Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ke Majlis Rumah Terbuka Sambutan Gawai Dayak pada 1 Jun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Selain itu kunjungan hormat ini juga turut menjemput Tun Pehin Sri dan Toh Puan Fauziah ke Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 yang dijangka berlangsung pada 22 Jun ini nanti di BCCK.
Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 ini turut bakal dihadiri oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Turut hadir isteri Timbalan Premier Sarawak, Datin Amar Dato Doreen Mayang, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai serta rombongan Jawatankuasan Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 yang lain. -JAPEN