
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2025 di Astana Negeri, hari ini.
Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) selaku Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025 Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.
Dalam sesi kunjungan tersebut, Dato Sri Dr. Stephen Rundi telah menyampaikan warkah jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah seterusnya berkongsi persiapan Jawatankuasa Induk bagi memastikan penganjuran Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025 yang dijadualkan berlangsung di Bintulu dapat dilaksanakan dengan lancar, meriah serta penuh makna.
Beliau turut menjelaskan acara utama yang akan bermula pada 14 hingga 16 September ini iaitu Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain, Majlis Kesyukuran di Masjid Assyakirin, Larian Hari Malaysia, Perhimpunan Hari Malaysia dan Konsert Rakyat yang bakal menzahirkan semangat perpaduan dan kecintaan terhadap negara.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Induk atas usaha yang digerakkan serta menekankan kepentingan penganjuran sambutan ini dalam memperkukuh semangat patriotisme, perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di Sarawak.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Maritim) Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu serta Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben.
Hadir sama Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Pengarah UPPANS Datu Hamdan Sharbini, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Dato Geogina Apphia Ngau, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Sahibul Fadilah Ustaz Mual Suaud, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta Pemangku Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak selaku wakil Abang Mohamad Hadi Abang Shafie.