
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing di kediaman rasmi beliau di sini, hari ini.
Hadir sama Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato’ Fenny Nuli dan tetamu kehormat lain.
Dalam sesi pertemuan ini, Tun Wan Junaidi dan Ouyang Yujing memfokuskan perbincangan kepada usaha mengukuhkan hubungan dua hala dengan mengambil kira kepentingan China sebagai rakan dagang dan pelabur utama.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui iaitu meneroka potensi pelaburan China dalam inisiatif tenaga hijau Sarawak seperti hidrogen, hidroelektrik dan teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab tenaga lestari.

Perbincangan turut menekankan usaha memperkukuh hubungan perdagangan sedia ada serta menarik lebih banyak syarikat China untuk melabur dalam sektor kritikal Sarawak seperti perkilangan berteknologi tinggi, petrokimia dan industri makanan moden.
Turut menjadi topik perbincangan ialah kerjasama dalam pembangunan infrastruktur besar, termasuk penggunaan kepakaran China dalam pembinaan jalan raya, jambatan dan pelabuhan.
Selain itu, perbincangan juga menyentuh kerjasama dalam bidang penyelidikan dan teknologi juga diberi tumpuan khususnya berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) antara institusi pendidikan tinggi di Sarawak dan China.
Kehadiran delegasi peringkat tinggi ini menggariskan komitmen berterusan China dalam memperkukuh hubungan mesra dengan Malaysia khususnya Sarawak yang dilihat sebagai pintu masuk strategik ke rantau Borneo.
Dalam pertemuan tersebut, Ouyang Yujing turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah untuk mengadakan lawatan rasmi ke Republik Rakyat China.
Tun Wan Junaidi menzahirkan harapan agar jalinan persahabatan dan kerjasama antara Sarawak dan China akan terus berkembang demi manfaat bersama pada masa hadapan.