
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Putra Malaysia (UPM) di Astana Negeri, Petra Jaya.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut ialah isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.
Kunjungan diketuai oleh Pro-Canselor UPM, Tan Sri Peter Chin Fah Kui, bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi untuk menghadiri Majlis Pengisytiharan UPM Sarawak di Istana Alam Shah, Klang yang akan diadakan pada 30 Jun akan datang.
Semasa pertemuan, Tun Wan Junaidi turut dimaklumkan mengenai pelantikan Peter Chin sebagai Pro-Canselor baharu UPM berkuat kuasa mulai 18 Oktober 2024.
Pelantikan berkenaan melambangkan komitmen berterusan UPM dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan kepimpinan Sarawak, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan komuniti.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Pengarah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini serta ahli-ahli delegasi UPM yang lain. -JAPEN