
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang diketuai oleh Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Hata Rasit serta isteri, Prof Dr Ramlah Zainudin di kediaman rasmi Kasuma Resort, tengah hari tadi.
Turut hadir dalam majlis ini ialah anaknya, Sharifah Fariah serta Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertua Negeri, Dato’ Sri Hamzah Syed Paie.
Delegasi Unimas yang turut serta ialah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr Hishamuddin Siri, Pensyarah, Dr Marzie Hatef Jalil serta Pensyarah, Dr Asrul Asshadi Mohamad Morni.

Kunjungan ini bertujuan mempersembahkan koleksi rekaan batik Sarawak yang dihasilkan oleh pihak Unimas dengan mengetengahkan elemen flora Sarawak serta motif daripada pelbagai etnik termasuk Melayu, Iban, Melanau, dan Orang Ulu.
Tun Wan Junaidi menzahirkan penghargaan terhadap rekaan tersebut yang disifatkan amat menarik dan cantik serta menyarankan agar pihak Unimas menghasilkan lebih banyak variasi rekaan yang sesuai untuk lelaki dan wanita.
Perbincangan itu juga, Tun Wan Junaidi mencadangkan agar Unimas menyediakan satu kertas cadangan komprehensif yang merangkumi aspek rekaan, bajet, penyelidikan, pembangunan dan latihan bagi tujuan pengeluaran batik yang beridentitikan Sarawak.