
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di kediaman rasminya pagi tadi.
Kunjungan hormat ini diketuai oleh Naib Canselor Unimas, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit.
Pada pertemuan tersebut, Unimas telah menyampaikan warkah jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi bagi menyampaikan Syarahan Negarawan yang dijangka berlangsung pada 26 September 2025 kelak.
Pihak Unimas turut mempersembahkan rekaan batik Sarawak yang diinspirasikan daripada cetusan idea Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan harapan agar batik Sarawak ini dapat terus dikembangkan sebagai industri yang berdaya tahan, membuka peluang ekonomi baharu, memperkukuh identiti negeri, serta menjadi produk unggul yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai status terkini Fakulti Undang-undang Unimas yang telah dicadangkan sendiri oleh Tun Wan Junaidi serta beberapa isu semasa yang berkaitan dengan pembangunan pendidikan tinggi di Sarawak.
Tun Wan Junaidi turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Unimas atas komitmen berterusan universiti tersebut dalam menyumbang kepada kemajuan pendidikan, penyelidikan, serta pengembangan seni dan budaya di negeri ini.
Tun Wan Junaidi menegaskan komitmen beliau untuk terus menyokong usaha pembangunan pendidikan dan industri kreatif negeri, khususnya dalam memastikan Sarawak melahirkan modal insan berkualiti serta mampu bersaing di peringkat global.
Turut hadir sama ialah Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Dr Ringah Kayan; Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Dr Ramlah Zainudin dan Pegawai Khas Naib Canselor, Mohd Hussaini Noorjaya Chew.