
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Terbuka Malaysia (OUM) bertempat di Kediaman Rasmi, Kasuma Resort, di sini, pagi tadi.
Delegasi OUM diketuai oleh Presiden/Vice-Chancellor OUM, Prof Dato’ Dr Ahmad Izanee Awang dan Naib Presiden/Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan), Prof Emeritus Datuk Dr Md Tajuddin Md Ninggal.
Delegasi OUM turut disertai oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Madya Dr Hamidah Mat Dekan, Pengurus Kanan Perancangan Strategik Kumpulan, Marlina Mahadzir.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk berkongsi perkembangan terkini institusi serta pelbagai inisiatif pendidikan tinggi yang diterajui oleh OUM, khususnya dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan di Sarawak.

Dalam sesi tersebut, pihak OUM turut mengemukakan cadangan pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan kaum wanita di negeri ini.
Dalam pertemuan berkenaan, Tun Wan Junaidi menzahirkan penghargaan terhadap peranan OUM sebagai platform pendidikan yang penting dan strategik, khususnya dalam menyediakan sistem pembelajaran yang fleksibel serta inklusif bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat merentasi semua lapisan masyarakat.
Tun Wan Junaidi turut menyatakan harapan agar kerjasama dan inisiatif yang dirangka oleh OUM akan terus menyumbang kepada kecemerlangan akademik, peningkatan kesejahteraan sosial serta pembangunan insan yang mampan, selari dengan aspirasi Sarawak dalam melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing.