
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Delegasi tersebut diketuai oleh Pengerusi KWSP, Tan Sri Datuk Amar Mohd Zuki Ali.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan KWSP, di samping berkongsi maklumat mengenai perkembangan terkini serta inisiatif baharu yang dilaksanakan bagi menjamin kesejahteraan masa depan ahli, khususnya di Sarawak.

Dalam pertemuan tersebut, Mohd Zuki Ali turut mempersembahkan taklimat mengenai prestasi semasa simpanan KWSP serta perancangan pengukuhan jaringan keselamatan sosial bagi mendepani cabaran ekonomi semasa.
Tun Wan Junaidi turut menekankan kepentingan usaha memperluas literasi kewangan dalam kalangan masyarakat, khususnya melibatkan peniaga kecil, persatuan serta komuniti luar bandar di Sarawak, bagi memastikan setiap individu mempunyai perancangan persaraan yang lebih mampan serta pengukuhan simpanan hari tua.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan KWSP dalam mengurus dana persaraan rakyat dengan cekap dan amanah.