
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Astana Negeri Sarawak, pagi tadi.
Delegasi DBP diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.
Kunjungan hormat tersebut diadakan bagi menyampaikan warkah persilaan dan jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah untuk hadir sebagai tetamu kehormat sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 serta Majlis Penutupan Rasmi Pertandingan Forum Remaja Madani, Piala TYT Yang di-Pertua Sarawak 2026.

Pada pertemuan itu juga, pihak DBP telah membentangkan laporan terkini mengenai penerbitan buku Tun Wan Junaidi yang masih dalam proses suntingan.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menerima jemputan yang disampaikan dan merakamkan penghargaan kepada DBP atas kunjungan yang diadakan.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Abang Haliman Abang Julai; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr Azizul Ismail; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Norhasmanalinda Mustapa; Editor Bahagian Buku Umum, Zawinajah Md Kaslan; dan Penolong Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Coretta Herliana Kura serta tetamu kehormat lain.