
KUALA LUMPUR: Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor dalam bidang Pengurusan oleh Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) sempena Majlis Konvokesyen Ke-24 yang berlangsung pagi ini di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC).
Menurut UNIRAZAK, penganugerahan ini merupakan pengiktirafan istimewa daripada pihak universiti terhadap kepimpinan, dedikasi dan sumbangan Tun Wan Junaidi dalam memperkukuh tadbir urus, memajukan masyarakat, serta memartabatkan negeri Sarawak dan negara.
Jejak bakti beliau dalam pentadbiran, perkhidmatan awam dan legislatif menjadi teladan kepada generasi kepimpinan masa hadapan, mencerminkan integriti, kebijaksanaan dan wawasannya yang jauh ke hadapan.
Semoga Tun Wan Junaidi sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan, dan kebijaksanaan dalam meneruskan khidmat bakti yang mulia. – Astana Sarawak