
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru umat Islam agar menghayati semangat pengorbanan, ketaatan dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. dalam peristiwa agung yang menjadi asas kepada sambutan Aidiladha.
Dalam perutusan khas sempena Aidiladha 2025, Tun Wan Junaidi memberitahu, kisah tersebut bukan sekadar sejarah, tetapi panduan penting dalam membentuk jati diri Muslim yang bertakwa.
Beliau juga menegaskan bahawa Aidiladha perlu difahami lebih luas sebagai pengorbanan bukan hanya dalam bentuk harta dan binatang ternakan, tetapi juga dalam mendahulukan kebenaran, memelihara hubungan silaturahim, serta menyemai nilai ihsan dan takwa dalam diri, keluarga dan masyarakat.
“Umat Islam juga diseru agar menjadikan hari yang mulia ini sebagai titik tolak untuk memperkukuh perpaduan dan memperbaiki diri ke arah kehidupan yang lebih diberkati,” ujarnya beliau lagi.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut mendoakan agar sambutan Aidiladha kali ini diraikan dalam suasana penuh kesyukuran, keharmonian dan kasih sayang sesama insan.
Beliau bersama isteri turut menitipkan doa khas buat para jemaah haji dari Sarawak yang sedang menunaikan rukun Islam kelima di Tanah Suci.
“Doa kami sentiasa mengiringi langkah para jemaah. Semoga dikurniakan kesihatan, kekuatan dan haji yang mabrur, Insya-Allah,” ujar beliau. -UKAS