Tun Wan Junaidi sertai Majlis Kesyukuran Hari Sarawak 2026 di Sibu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di Masjid An-Nur malam ini berlangsung penuh bermakna dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang turut menunaikan solat berjemaah serta menyertai doa kesyukuran bersama barisan kepimpinan negeri.

Tun Wan Junaidi yang diiringi isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Fauziah Mohd Sanusi, disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Menteri Bertanggungjawab Majlis Kesyukuran Sambutan Hari Sarawak 2026, Dato Dr Juanda Jaya, serta Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, serta tetamu kenamaan lain.

Sejurus tiba, Tun Wan Junaidi menunaikan solat Maghrib secara berjemaah yang diimamkan Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin, alunan zikir Marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Sibu serta doa kesyukuran sempena Hari Sarawak 2026 yang dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak sebelum hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah.

Selesai solat, para tetamu menghadiri jamuan makan malam yang turut disertai Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2026 Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Tun Wan Junaidi dijadualkan menyertai program Unity Walk di Dataran Tun Tuanku Bujang pada 6.45 pagi esok, sebelum berangkat ke Perhimpunan Hari Sarawak 2026 dan Konsert Rakyat di lokasi sama pada sebelah malam, yang dijangka turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Oleh Akun Giman