
BINTULU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah selamat tiba di Lapangan Terbang Bintulu tengah hari tadi.
Lawatan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah diiringi oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan bersama isteri, Datin Melinda Claudia Bucking.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah disambut oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi dan tetamu kenamaan yang lain.

Sejurus tiba, Tun Wan Junaidi turut disambut dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Imam Bahagian Bintulu, Ustaz Awang Fakrulizan Awang Madohi.
Lawatan rasmi Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah kali ini adalah untuk menyempurnakan Majlis Kesyukuran serta sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak 2025 yang berpusat di Bintulu.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan doa agar segala acara yang telah dirancang berjalan lancar dan sempurna, serta rakyat dapat bersama-sama menghayati makna dan kepentingan Hari Malaysia yang diraikan pada setiap 16 September.