Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Tun Wan Junaidi rasmi Mesyuarat Penggal Keempat DUN Sarawak
  • SEMASA

Tun Wan Junaidi rasmi Mesyuarat Penggal Keempat DUN Sarawak

Utusan Sarawak 11 hours ago
KETIBAAN Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang hadir bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi disambut oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang. -Foto JAPEN

PETRA JAYA: Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 berjalan lancar dengan penuh adat istiadat, hari ini.

Majlis pembukaan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang hadir bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Dataran Perbarisan DUN.

Ketibaan beliau dan isteri pada 9.25 pagi disambut oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang. 

Ketibaan Tun Pehin dan Toh Puan turut disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama.

TUN Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memeriksa Kawalan Kehormatan Utama diiringi oleh Pegawai Pemerintah Perbarisan. -Foto JAPEN

Tun Pehin kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan dianggotai 105 anggota terdiri daripada tiga pegawai dan 102 lain-lain pangkat dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia diketuai oleh Deputi Superintendan Harun Saharudin Mohamad manakala Pegawai Panji Inspektor Mohamad Azizi Kamil.

BACAAN doa oleh Sahibul Fadilah, Imam Besar Negeri Sarawak. -Foto JAPEN

Selesai bacaan doa, barisan Kawalan Kehormatan Utama mempersembahkan Hormat Diraja dan Lagu Negaraku serta Ibu Pertiwiku dimainkan.

Sejurus kemudian, beliau dan isteri berangkat meninggalkan Dataran Perbarisan dan panji-panji diarak keluar.

Seterusnya, istiadat diteruskan di dalam Dewan Mesyuarat, Aras 8, yang dimulakan sekitar jam 10.00 pagi dengan kehadiran Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dan dif-dif kenamaan bersama pasangan masing-masing.

Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak bersama Setiausaha Dewan dan Bentara Mesyuarat kemudiannya masuk ke dewan, disusuli dengan bacaan doa, pengisytiharan persidangan serta pemasyhuran oleh Tuan Speaker sebelum beliau berangkat keluar untuk menjemput Tun Pehin dan isteri ke dalam dewan.

Selepas selesai menyampaikan ucapan pembukaan persidangannya, Tun Wan Junaidi dan isteri berangkat meninggalkan Dewan Mesyuarat dan berkumpul bersama ahli-ahli Yang Berhormat untuk sesi bergambar.

Upacara tamat sekitar 11.15 pagi dengan menyaksikan Tun Wan Junaidi dan isteri berangkat pulang.

Persidangan yang berlangsung selama lapan hari ini dijadual berakhir pada 28 Mei ini.

Untuk rekod, persidangan kali ini menyaksikan pembentangan enam Rang Undang-Undang (RUU) oleh beberapa menteri dan timbalan premier.

Antaranya RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2025 serta RUU Pembubaran Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025 yang akan dibentangkan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn pula dijadual membentangkan RUU Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025.

Sementara itu, Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan membentangkan RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025, manakala Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian akan membentangkan RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025.

Oleh Masrin Affirah & Amanda L.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: AKPS perkukuh kesiapsiagaan di pintu masuk negara, pastikan kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN
Next: DUN: Muktamadkan segera kerjasama Petros, Petronas – Wan Junaidi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.