
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri majlis jamuan makan bersama Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga merupakan sahabat lama sejak zaman Parlimen era 1990-an.
Majlis yang berlangsung semalam di salah satu hotel terkemuka di Kuala Lumpur itu diadakan dalam suasana penuh kemesraan dan semangat kekitaan.
Turut hadir ialah Tan Sri Bustari Yusuf dan isteri, Puan Sri Johrah Abdul Rahman; Dato’ Mohamed Raffe Chekku dan isteri, Datin Nilufar Sharof; serta Eda Ahmad dari OBYU.

Jamuan makan malam santai ini menjadi wadah memperkukuh jaringan persahabatan dan silaturahim dalam kalangan hadirin, di samping memberi ruang untuk bertukar pandangan serta mengimbau kenangan lama.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Dato’ Seri Mohamed Khaled serta para tetamu yang telah meluangkan masa menghadiri majlis.
Tun Wan Junaidi berharap agar hubungan persahabatan dan semangat kekitaan yang terjalin akan terus diperkukuh demi manfaat bersama.
Majlis diakhiri dengan sesi fotografi kenang-kenangan dan suasana mesra penuh ukhuwah.