
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) melakar sejarah apabila menjadi tuan rumah Majlis Syarahan Negarawan, Bicara Buku dan Pelancaran Buku yang pertama kali diadakan di institusi itu hari ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah berkata, acara berprestij itu lebih bermakna kerana UTS turut diberi keistimewaan menerbitkan buku-buku karya Tun Wan Junaidi merangkap Canselor UTS, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar melalui UTS Publisher.
Beliau berkata kerjasama itu bermula selepas beberapa profesor UTS terlibat dalam perbincangan bersama Wan Junaidi mengenai kepentingan memahami sejarah, undang-undang dan tadbir urus dalam mencapai matlamat organisasi.
“Sepanjang perbincangan itu, turut disentuh detik penting dalam sejarah negara yang akhirnya menjadi ilham kepada syarahan hari ini. Tun Wan Junaidi kemudian berkongsi manuskrip baharu yang menyentuh kisah hidup beliau,” katanya pada majlis berkenaan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud.

Roland berkata menyedari nilai manuskrip tersebut, seorang profesor mencadangkan agar ia diterbitkan oleh UTS Publisher dan pada April lalu Tun Wan Junaidi bersetuju bukan sahaja untuk satu buku tetapi dua, iaitu ‘Teriso’s Little Star’ dan ‘Silence’.
Buku ‘Teriso’s Little Star’ merakamkan kehidupan desa di Kampung Teriso sekitar 1940-an yang berpaksikan alam, iman dan tradisi, manakala ‘Silence’ menghimpunkan karya puitis Tun Wan Junaidi bersama Yusuf Mustanir dan Diana Ningkan.
Menurut Roland, penerbitan itu menggambarkan ketabahan, perpaduan, warisan budaya dan semangat kemanusiaan yang wajar dikongsi bersama masyarakat.
Beliau menambah, acara tersebut sekali gus melambangkan peranan UTS sebagai institusi pengajian tinggi dan pusat perkongsian ilmu dengan masyarakat pelbagai lapisan.
Dalam perkembangan berkaitan, Roland berkata UTS menawarkan 15 daripada 64 kursus di bawah skim pendidikan tinggi percuma yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.
“Saya yakin perkara ini selari dengan minat mendalam Tun Wan Junaidi terhadap bidang pendidikan. Peluang untuk memohon tempat masih terbuka kerana pembelajaran seharusnya berlangsung sepanjang hayat,” katanya.
Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah dan tetamu yang lain.
Oleh Tarani Lanting