
MIRI: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar disifatkan sebagai lambang semangat Sambutan Hari Sarawak kerana sumbangan besar beliau dalam mempertahankan kedaulatan negara dan membangunkan negeri ini.
Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2025, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Tun Wan Junaidi bukan hanya tokoh perundangan dan pentadbiran, tetapi juga seorang patriot sejati yang pernah mempertaruhkan nyawa semasa berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan.
“Tun pernah terlibat dalam operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara di kawasan Miri, Sibu dan Kapit bukti keberanian luar biasa seorang anak Sarawak yang sejati,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena sambutan di Stadium Bandaraya Miri, malam ini.
Menurut Lee, sumbangan Tun Wan Junaidi tidak terhenti selepas bersara dari pasukan keselamatan. Sebagai ahli politik dan menteri, antara pencapaian paling signifikan beliau ialah meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan hak Sarawak yang terhakis.
“Kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah malam ini amat bermakna dan menjadi suntikan semangat kepada rakyat Sarawak untuk terus bersatu dan maju,” katanya.
Lee turut menyifatkan Tun Wan Junaidi sebagai seorang negarawan berwibawa, berintegriti dan sentiasa mengutamakan kepentingan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
“Keprihatinan dan sokongan padu Tun Wan Junaidi terhadap usaha pembangunan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, amat dihargai,” tambahnya.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof serta barisan kenamaan lain.
Oleh Liong Chai Ling