
PETRA JAYA: Seramai 151 individu telah dikurniakan Pingat dan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak dalam satu istiadat rasmi yang berlangsung hari ini.
Majlis pengurniaan tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya.
Mendahului senarai penerima ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.1 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, yang menerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.).
Turut menerima darjah yang sama ialah ADUN N.8 Serembu, Miro Simuh, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri, Ching Yie Loong, Ts. Mazli Mustafa, Tey Kim Chuan, Zulaihi Mohd Mantali, Kasean Sandah dan Khadija Muip.
Penerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Johan Bintang Sarawak (J.B.S.), didahului oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Ruslan Abdul Ghani, Pengerusi Sarawak Australia Business Chamber (SABC), Roger Chan Siong Boh serta Pemanca Roshidi Junai.
Yussibnosh Balo pula merupakan penerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Johan Bintang Kenyalang (J.B.K).
Seramai empat individu menerima Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C.), diketuai oleh Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Premier Sarawak, Sharifah Rohana Datu Wan Ali. Turut menerima ialah Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Awang Raduan Awang Omar, Catherine Ridu dan Dolhadi Mazuki.
Sementara itu, dua individu menerima Pingat Jasa Keberanian, Pingat Perwira Negeri (P.P.N.) (Gangsa), iaitu Nehemia Bonel Pantulusang dan Ibrahim Saili.
Majlis turut menyaksikan 15 penerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K.), diketuai oleh Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Badjuri Bidin.
Selain itu, seramai 18 individu menerima Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B.), diikuti 20 penerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (A.B.S.).
Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K.) pula dikurniakan kepada 18 penerima.
Majlis turut menyaksikan pengurniaan Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T.) kepada 37 penerima serta Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Bentara Bintang Sarawak (B.B.S.) kepada 24 penerima.
Turut hadir Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jabar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Persekutuan, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Timbalan Menteri Pengangkutan II, Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Operasi), Datu Hii Chang Kee serta dif-dif kenamaan lain. -JAPEN