LIMBANG: Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Ilahi, Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 telah berlangsung dalam suasana yang amat menginsafkan dan diberkati di Masjid Jannatul Firdaus, di sini, petang tadi.
Kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pada 6.20 petang menyemarakkan lagi semangat kesyukuran dalam kalangan jemaah dan warga Limbang.
Majlis yang dimulakan dengan laungan azan dan solat fardu Maghrib secara berjemaah itu diteruskan dengan bacaan Surah Yaasin dan doa kesyukuran yang dipimpin penuh penghayatan oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Setiap bait doa yang dilafazkan mengundang rasa rendah diri dan keinsafan, memohon kesejahteraan dan keberkatan buat negara serta raja yang memerintah.
Alunan zikir marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Limbang membangkitkan suasana spiritual yang mendalam, memupuk rasa kebersamaan dan memperkukuh ikatan umat dalam mensyukuri nikmat keamanan serta pemerintahan yang adil.
Tun Wan Junaidi dan isteri turut dijadualkan menghadiri Majlis Jamuan Teh Rasmi sempena sambutan penuh bermakna ini di Dewan Suarah Limbang, esok, sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan kepada jasa pemerintahan berdaulat yang menaungi rakyat dengan rahmat dan kasih sayang.
Turut bersama dalam majlis yang penuh kesyukuran ini ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, serta barisan menteri, timbalan menteri, Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, ketua-ketua jabatan dan warga Limbang yang hadir dengan hati yang tulus.
Majlis ini menjadi manifestasi nyata kesyukuran rakyat Sarawak atas kemakmuran yang dikecapi di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, serta bukti keutuhan semangat perpaduan dan cinta tanah air.