
BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman, hari ini.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ke Balai Singgahsana Indera Buana turut diiringi Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri, Datuk Dayang Morliah Awang Daud.

Majlis penuh istiadat itu diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah di Istana Nurul Iman disambut mengikut protokol diraja, mencerminkan hubungan persahabatan erat serta hubungan sejarah, diplomatik dan kebudayaan yang terjalin lama antara Sarawak dan Brunei Darussalam.

Pada majlis berkenaan, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut berpeluang mengadap serta menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda.

Kehadiran itu melambangkan komitmen berterusan Sarawak dan Brunei Darussalam dalam memperkukuh hubungan dua hala, selain mempererat silaturahim serta meneroka ruang kerjasama yang memberi manfaat bersama pada masa hadapan.
Turut hadir kerabat diraja Brunei, pembesar negara, anggota kor diplomatik asing serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara.





